Tuesday 15 November 2011

Kebebasan mutlak media baru akan membawa bencana kepada keharmonian sosial.

 “Media baru” dapat ditakrifkan sebagai bentuk komunikasi interaktif yang menggunakan internet. Hal ini merangkumi penglibatan dan penggunaan internet seperti penulisan blog, laman rangkaian sosial, teks mesej dan banyak lagi. Media baru ini membenarkan sesiapa sahaja sama ada untuk mencipta, mengubahsuai dan berkongsi sesuatu maklumat dengan orang lain secara percuma yang mana mereka hanya memerlukan gadget yang mampu akses terhadap internet. Mudah kan? Saya pasti ramai yang menggunakan media baru ini bagi mengekspreskan luahan minda dan hati mereka. Namun begitu, benarkah kebebasan mutlak terhadap media baru ini akan membawa bencana kepada keharmonian sosial?

Sekali lagi saya berasa terpanggil untuk menulis entri ini. Benarkah kebebasan mutlak terhadap penggunaan media baru ini akan mengakibatkan bencana kepada keharmonian sosial? Media baru ini kerap digunakan bagi inidividu yang ingin bersuara. Namun, suara yang mereka lontarkan itu adalah secara bukan lisan. Mampukah individu sebegini menggunakan kebebasan yang diberikan ini sebaiknya tanpa mengundang sebarang malapetaka? Adakah mereka ini mampu menghalang berlakunya bencana dalam kehidupan sosial seperti pernyataan yang saya kemukakan di atas?; kebebasan mutlak media baru akan membawa bencana kepada keharmonian sosial. Kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang? Saya tidak mahu mengeyakan persoalan ini. Akan tetapi, saya juga tidak menidakkannya.
Setiap kebenaran atau pendustaan terhadap situasi yang kita lihat pada hari ini tidak dapat diakui dengan hanya sekadar pandangan mata kasar. Segala yang tersirat perlu diselak dan diamati sebaiknya. Segalanya yang berlaku punya sebab-musabab tersendiri. Begitu juga dengan kewujudan kebebasan media baru pada hari ini. Setiap perlakuan ada sebab dan alasan yang kuat. Begitu juga kebebasan yang disediakan terhadap media baru ini. Malaysia merupakan sebuah negara yang menjalankan sistem pemerintahan secara demokrasi. Oleh sebab itulah wujudnya kebebasan mutlak dalam penggunaan media baru ini. Namun, setiap perkara perlu ada batasnya agar semua yang berlaku mampu berjalan dengan seimbang tanpa ada pihak yang berasa tidak adil ataupun memendam rasa. Bak kata orang putih, “every single thing need to have pros and cons”.
Bencana mungkin datang apabila kebebasan ini disalahgunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dalam menggunakan kemudahan media baru ini. Di sini, pegangan moral dalam diri individu amat penting yang mana ia mampu memandu perlakuan seseorang dalam bertindak sama ada untuk memajukan diri dengan perbuatan yang positif ataupun ‘bunuh diri’ dengan sikap yang negatif.
Apabila menyebut atau membincangkan soal bencana terhadap keharmonian sosial, saya pasti ramai yang kecut perut dan tidak sedikitpun menginginkan hal ini berlaku dalam kalangan masyarakat hari ini bahkan  masyarakat pada masa akan datang juga. Mana tidaknya, pasti ramai yang takut dan gerun sekiranya peristiwa 13 Mei 1969 berulang lagi kesan daripada kejejasan keharmonian sosial.
Keharmonian sosial ini merangkumi keharmonian agama, bangsa dan negara yang mana ketiga-tiga perkara ini sangat sensitif dan tidak boleh dipandang ringan. Oleh sebab itulah, sekiranya hubungan sesama kaum dalam negara kita ini pincang, maka rosak binasalah negara bangsa yang kita bina selama ini.
Mahukah anda keharmonian sosial masyarakat kita hancur dek kerana media baru ini? Sanggupkah anda merelakan media baru yang mencabuli keteguhan “kesepakatan” dalam masyarakat majmuk kita yang telah dipertahankan oleh nenek moyang kita sejak dahulu lagi? Sudah tentu tidak. Oleh itu pengguna terutamanya remaja dan dewasa harus arif dan rasional dalam mengendalikan media baru ini supaya tidak terjebak dan terpengaruh dengan unsur-unsur negatif yang boleh memusnahkan keharmonian sosial masyarakat majmuk di negara kita.

Monday 31 October 2011

paradoks 'vs' telus...

Mengimbas kembali artikel yang dipetik dari Muslim Melinia yang ditulis oleh Dr Rahmat Ghazali iaitu Kebebasan berita dan informasi siber: suatu paradoks; saya berasa terpanggil untuk menulis entri ini. Jika diteliti sebaiknya, ia amat menarik untuk dibincang dan dikongsi bersama. Walaupun kedengaran sedikit sensitif, namun tidak semua orang mengambil endah akan isu sebegini. Saya percaya, ramai yang menjadikan internet sebagai medium bagi mendapatkan maklumat dan berita. Walaubagaimanapun, saya juga yakin ramai yang tidak pasti sama ada perkara ini memang benar-benar keperluan ataupun sekadar menjadi trend dalam kalangan pengguna.
Perkembangan teknologi telekomunikasi dan informasi ini membangun dengan pesat sekaligus mendorong pertumbuhan yang drastik dalam dunia siber. Setuju dengan pepatah ‘dunia di hujung jari’, ramai yang akur bahawa pelbagai informasi dapat diperoleh dan dimuat-turun melalui internet. Namun, adakalanya hal ini menjadi semakin membarah sekiranya kesenangan dan kebebasan ini disalahgunakan oleh mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab. Pelbagai berita, cerita, malah gosip sekalipun boleh didapati dengan hanya satu perkataan yang ditaip di papan kekunci komputer. Namun, sejauh mana kebenarannya, belum dapat dikenalpasti. Tetapi, mampukah penulisan-penulisan yang terzahir di skrin komputer ini menggoyahkan kepercayaan pembaca, mengubah pandangan mereka, dan menginspirasikan sanubari remaja? Tak tumbuh, tak melata, tak sungguh, orang tak kata. Jadi, tepuk dada, tanyalah selera! Atau adakah lebih tepat jika tanya iman di dada?
Pelbagai persoalan bermain di minda. Menilai mana satu kebenaran dan mana satu kebatilan. Apabila sesuatu perkara terlalu diberi kebebasan, inilah yang jadinya. Mampukah kita mengubah pandangan dan penilaian orang ramai yang mungkin berbeza terhadap sesuatu isu dalam medium yang maha luas ini? Dan apabila paparan berita dan cerita melalui medium internet disebar-luas sewenang-wenangnya, sejauh manakah kesahihannya? Siapakah yang mampu menilai ketepatannya?
“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar, dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat akan disuruh memegang amanah, dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat, dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan ‘Ruwaibidhah’. Sahabat bertanya, apakah Ruwaibidhah wahai Rasulullah? Nabi menjawab, orang bodoh yang bercakap mengenai urusan orang ramai” –HR Ahmad.
Pelbagai pernyataan negatif dimuat-turun di internet hari ini mampu menimbulkan persengketaan dalam kalangan pengguna. Tidak kurang berlaku perbalahan kaum, politik, malah adik-beradik juga bergaduh sesama sendiri akibat daripada kebebasan berita dan informasi siber hari ini. Namun apakandaya, tidak semua manusia arif mengenai etika menulis buat tatapan khalayak. Penulisan yang dipengaruhi emosi dan rasa hati boleh mengundang pelbagai spekulasi yang tidak diingini. Lantas, mewujudkan satu fenomena penulisan bebas yang dilihat tidak beretika.
“Kalau sekali seorang bijak melakukan kekeliruan,di belakangnya terdapat ramai orang bodoh yang mengulangi kekeliruan itu”-Beng Cu. Pepatah ini sangat sesuai bagi seseorang yang terlalu menelan bulat-bulat apa yang dilihat di depan mata dan apa yang terngiang di tepi telinga. Oleh itu, jadilah manusia yang berfikir dan mampu menjadi rasional dalam apa jua perkara tanpa terlalu percaya atau mencerca membuta tuli. Sesungguhnya, perhiasan timbul daripada kerinduan terhadap yang indah. Bunga yang mekar di atas meja, kerusi yang bagus, semuanya seiring dengan kemajuan otak dan jiwa.