Tuesday 15 November 2011

Kebebasan mutlak media baru akan membawa bencana kepada keharmonian sosial.

 “Media baru” dapat ditakrifkan sebagai bentuk komunikasi interaktif yang menggunakan internet. Hal ini merangkumi penglibatan dan penggunaan internet seperti penulisan blog, laman rangkaian sosial, teks mesej dan banyak lagi. Media baru ini membenarkan sesiapa sahaja sama ada untuk mencipta, mengubahsuai dan berkongsi sesuatu maklumat dengan orang lain secara percuma yang mana mereka hanya memerlukan gadget yang mampu akses terhadap internet. Mudah kan? Saya pasti ramai yang menggunakan media baru ini bagi mengekspreskan luahan minda dan hati mereka. Namun begitu, benarkah kebebasan mutlak terhadap media baru ini akan membawa bencana kepada keharmonian sosial?

Sekali lagi saya berasa terpanggil untuk menulis entri ini. Benarkah kebebasan mutlak terhadap penggunaan media baru ini akan mengakibatkan bencana kepada keharmonian sosial? Media baru ini kerap digunakan bagi inidividu yang ingin bersuara. Namun, suara yang mereka lontarkan itu adalah secara bukan lisan. Mampukah individu sebegini menggunakan kebebasan yang diberikan ini sebaiknya tanpa mengundang sebarang malapetaka? Adakah mereka ini mampu menghalang berlakunya bencana dalam kehidupan sosial seperti pernyataan yang saya kemukakan di atas?; kebebasan mutlak media baru akan membawa bencana kepada keharmonian sosial. Kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang? Saya tidak mahu mengeyakan persoalan ini. Akan tetapi, saya juga tidak menidakkannya.
Setiap kebenaran atau pendustaan terhadap situasi yang kita lihat pada hari ini tidak dapat diakui dengan hanya sekadar pandangan mata kasar. Segala yang tersirat perlu diselak dan diamati sebaiknya. Segalanya yang berlaku punya sebab-musabab tersendiri. Begitu juga dengan kewujudan kebebasan media baru pada hari ini. Setiap perlakuan ada sebab dan alasan yang kuat. Begitu juga kebebasan yang disediakan terhadap media baru ini. Malaysia merupakan sebuah negara yang menjalankan sistem pemerintahan secara demokrasi. Oleh sebab itulah wujudnya kebebasan mutlak dalam penggunaan media baru ini. Namun, setiap perkara perlu ada batasnya agar semua yang berlaku mampu berjalan dengan seimbang tanpa ada pihak yang berasa tidak adil ataupun memendam rasa. Bak kata orang putih, “every single thing need to have pros and cons”.
Bencana mungkin datang apabila kebebasan ini disalahgunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dalam menggunakan kemudahan media baru ini. Di sini, pegangan moral dalam diri individu amat penting yang mana ia mampu memandu perlakuan seseorang dalam bertindak sama ada untuk memajukan diri dengan perbuatan yang positif ataupun ‘bunuh diri’ dengan sikap yang negatif.
Apabila menyebut atau membincangkan soal bencana terhadap keharmonian sosial, saya pasti ramai yang kecut perut dan tidak sedikitpun menginginkan hal ini berlaku dalam kalangan masyarakat hari ini bahkan  masyarakat pada masa akan datang juga. Mana tidaknya, pasti ramai yang takut dan gerun sekiranya peristiwa 13 Mei 1969 berulang lagi kesan daripada kejejasan keharmonian sosial.
Keharmonian sosial ini merangkumi keharmonian agama, bangsa dan negara yang mana ketiga-tiga perkara ini sangat sensitif dan tidak boleh dipandang ringan. Oleh sebab itulah, sekiranya hubungan sesama kaum dalam negara kita ini pincang, maka rosak binasalah negara bangsa yang kita bina selama ini.
Mahukah anda keharmonian sosial masyarakat kita hancur dek kerana media baru ini? Sanggupkah anda merelakan media baru yang mencabuli keteguhan “kesepakatan” dalam masyarakat majmuk kita yang telah dipertahankan oleh nenek moyang kita sejak dahulu lagi? Sudah tentu tidak. Oleh itu pengguna terutamanya remaja dan dewasa harus arif dan rasional dalam mengendalikan media baru ini supaya tidak terjebak dan terpengaruh dengan unsur-unsur negatif yang boleh memusnahkan keharmonian sosial masyarakat majmuk di negara kita.

No comments:

Post a Comment